Hampir sebulan penulis bercuti dari kelas tuisyen. Semalam, penulis menghadiri kelas buat kali pertama selepas bonda tiada lagi di dunia ini. AnakĀ² didik penulis sibuk bertanyakan penulis tentang ketidakhadiran penulis mengajar sebelum ini. Penulis cuma tersenyum hambar, tidak pasti jawapan yang perlu penulis jelaskan kepada mereka. Mampukah akal mereka yang masih cilik memahami erti kehilangan?? Mampukah mereka mengerti erti kasih sayang yang tiada penghujung?? v7


Setelah didesak oleh beberapa orang pelajar, barulah penulis membuka mulut menceritakan hal sebenar. Rentetan peristiwa itu penulis atur satu persatu sehingga lengkap menjadi sebuah cerita yang sempurna. AnakĀ² didik penulis diam, sepatah pun tidak bersuara menghayati kisah duka seorang guru. Airmata penulis bergenang di pelupuk mata, mujurlah ia tidak tumpah di hadapan mereka. Di akhir kelas, penulis sempat berpesan kepada para pelajar agar menghargai ibu bapa mereka selagi masih ada hayat dikandung badan. Janganlah lokek untuk mengucapkan rasa kasih sayang kepada kedua ibu bapa yang dikasihi. v7